Pengurusan Kewangan untuk Bakal Graduan

      1 Comment on Pengurusan Kewangan untuk Bakal Graduan
Share this..

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Tuan/Puan

Sejak kita kecil lagi, biasanya kita tidak ambil berat sangat tentang urusan kewangan. Biasanya, ibu bapa kita akan uruskan semua tu. Yang kita tahu, mintak duit bila nak pakai, dan cakap kat emak atau ayah kita bila ada masalah kewangan.

Lumrahnya begitulah bagi yang ada ibu bapa. Ada jugak yang tak bernasib baik, ibu bapa mereka tiada atas sebab-sebab tertentu dan mereka harus menguruskan sendiri kewangan mereka sehinggalah mereka belajar di kolej atau universiti sebelum masuk ke alam pekerjaan.

Pengurusan kewangan peribadi adalah pra-syarat utama jika kita ingin berjaya dalam kehidupan pada masa akan datang. Bukanlah bermaksud wang dan kekayaan adalah segala-galanya. Tetapi tanpa wang, banyak perkara yang akan jadi sukar dan tidak dapat dilakukan dengan lancar.
Sebab tu, sebelum graduan mula bekerja, perlu ada sedikit sebanyak ilmu mentadbir wang saku, wang elaun, wang yuran pengajian, wang makan minum, wang nak beli buku dan segala jenis perbelanjaan ketika belajar.

Perbelanjaan dan perolehan (tidak disebut pendapatan sebab secara rasminya belum bekerja sepenuh masa) dari sumber seperti biasiswa, pinjaman, pemberian ibu bapa dan sebagainya haruslah direkodkan dengan cermat dan teliti. Mungkin ini nampak melampau bagi sesetengah pihak, tetapi ini adalah disiplin yang baik untuk diamalkan dari awal.

Mengapa anda perlu rekodkan perbelanjaan dan perolehan pendapatan ketika belajar lagi?
Ok, logiknya mudah saja, kita nak pantau penggunaan wang setiap semester atau tahun kita belajar dan akhirnya kita nak tahu, adakah kita mempunyai lebihan perolehan atau kita dalam liabiliti (bukan hutang sebenar, tapi pokai!).

Amalan mencatat butiran perbelanjaan dan perolehan ini akan kita gunakan sepanjang hayat. Apatah lagi kalau kerjaya anda nanti ialah sebagai akauntan, pegawai bank, insurans atau juruaudit. Anda akan bermain dengan lebih banyak rekod transaksi yang lebih kompleks.

Kita perlu tahu perbelanjaan yang kita buat agar kita tidak terlebih bajet atau ketiadaan wang saku untuk meneruskan hidup di kolej atau universiti. Ini adalah antara disiplin asas yang perlu dilatih jika anda bercita-cita untuk bebas kewangan satu hari nanti.

Masa aku study dulu, ada beberapa kumpulan kawan-kawan yang aku jumpa. Ada yang jenis suka enjoy dan habiskan masa dengan kawan-kawan seperti mereka. Duit jangan tanyalah, tak cukup memanjang. Sanggup makan mee segera dan tak beli buku rujukan sebab duit dah dihabiskan untuk bersukaria. Kalau zaman sekarang lagi lah. Macam-macam benda boleh dibuat untuk menghabiskan wang. Handphone saja dah berapa ribu kalau nak beli. Belum ambil kira ada yang nak bergaya dengan pakai kereta, moto besar, pakaian berjenama dan macam-macam lagi.

OK berbalik kepada rekod wang masuk-wang keluar yang kita dah buat tadi, cuba amati betul-betul ada tak transaksi atau rekod yang nampak macam janggal. Contohnya, ada tak keadaan di mana dalam satu tempoh, perbelanjaan anda lebih besar dari perolehan (juga boleh dirujuk sebagai wang masuk). Cuba ingat balik, kenapa terjadi sedemikian. Ini penting sebab bila bekerja nanti, anda akan diberi sejumlah wang masuk yang dipanggil GAJI. Jika anda tidak mengambil berat soal perbelanjaan harian atau bulanan, anda akan berasa hairan bila belum tiba hujung bulan, poket anda kosong!

Sebaliknya, jika anda dapati wang masuk lebih banyak dari perbelanjaan (wang keluar), highlightkan (atau garis atau tandakan) dengan terang bahagian tersebut. Ini untuk memberi idea kepada anda, jika satu hari nanti anda perlukan wang, mungkin inilah caranya (rekod wang masuk yang ditandakan tadi) untuk mendapatkan wang tambahan.

Apa yang patut dilakukan lagi selepas itu? OK, setiap bulan atau 3 bulan sekali atau paling tidakpun setahun sekali, cuba buat simpanan dari lebihan wang masuk yang kita dapat ke dalam akaun simpanan. Mungkin juga, kalau ada mahu, gunakan akaun Tabung Haji, sebab dividen yang diberikan agak baik dibandingkan akaun simpanan biasa di bank.

Amalan menyimpan ni penting dipupuk dari awal dan sebelum anda masuk ke alam pekerjaan. Bagi yang tak biasa menyimpan, cuba dengan jumlah yang kecil dulu, tetapi biar konsisten. Tengok semula hasilnya selepas beberapa bulan atau tahun, mungkin anda boleh tingkatkan jumlah simpanan bila disiplin pengurusan perbelanjaan anda semakin baik.

Nota: Artikel ni ialah sebahagian dari kandungan ebook bertajuk “Graduan Celik: Tips Kewangan Mudah untuk Bakal Graduan“. Ditulis khas untuk adik-adik yang masih study. Baru separuh jalan, Insyaallah akan diterbitkan sebelum akhir tahun 2011 kalau rajin hehe..

Terima Kasih

One thought on “Pengurusan Kewangan untuk Bakal Graduan

Comments are closed.