Personal Money Management – What we are supposed to do?

      Comments Off on Personal Money Management – What we are supposed to do?
Share this..

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Tuan/Puan

Ramai yang bercita-cita ingin mencapai kebebasan kewangan. Tak kiralah samada anda masih bekerja, menganggur atau seorang pelajar.

Kebebasan kewangan sering digambarkan melalui jumlah wang simpanan yang banyak, jumlah aset dan hartanah, portfolio pelaburan dan pendapatan yang dijana tanpa had dan yang paling penting secara berterusan.  Inilah yang diidamkan oleh ramai orang.

Namun, adakah mudah untuk mencapai kebebasan kewangan tanpa perlu bersusah payah?. Ada orang rezeki mereka memang murah, petik jari sahaja, berkepuk-kepuk duit masuk. Golongan marhain (kebanyakan) macam anda dan saya, tak ada cara mudah selain dari berusaha dengan gigih di samping memantau (monitor) perkembangan pengurusan kewangan kita dari masa ke semasa.

Saya fikir, ramai penulis dan penceramah akan menekankan pentingnya sikap menyimpan wang pendapatan beberapa peratus (contoh 20%) setiap bulan. Wang simpanan ini banyak kegunaannya. Antaranya, bila ada peluang untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi, duit simpanan tersebut boleh digunakan “sementara”. Jadi tak perlulah kita terhegeh-hegeh meminjam dari orang lain atau Bank, melainkan jika jumlahnya terlalu besar.

Amalan menyimpan juga sebenarnya banyak hikmah yang tersembunyi. Ianya merupakan satu latihan yang amat penting dalam mendisiplinkan kita menguruskan kewangan. Bayangkan anda tidak pernah mengamalkan sikap menyimpan sedikit dari pendapatan, jika satu hari ditakdirkan Allah, kita mendapat rezeki yang begitu banyak, ada kemungkinan ianya boleh “lesap” dengan cepat kerana kita tidak “alert” akan kepentingan menyimpan lebihan yang tidak dipakai agar ianya dapat digunakan untuk urusan yang lebih menguntungkan di kemudian hari.

Selain dari amalan menyimpan, latihan memeriksa perbelanjaan bulanan juga patut dipraktikkan dengan bijak dah hemat. Jangan abaikan menilai cara berbelanja yang paling menguntungkan seperti:

1) Senaraikan apa yang ingin dibeli

2) Buat perbandingan harga dan tempat barangan yang ingin dibeli

3) Tentukan kekerapan untuk membuat pembelian, jika boleh kumpulkan agar menjimatkan perjalanan yang perlu diambil dengan kenderaan

4) Catat perbelanjaan keluar-masuk agar kita dapat rancang keperluan semasa dan akan datang jika terdapat kenaikan harga barangan, inflasi dan sebagainya

5) Buat semakan sekurang-kurangnya 3 bulan sekali untuk memperkemaskan lagi “grocery list” kita

6) Tukar ganti barangan yang mahal atau bukan keperluan dengan barangan lain (contoh, kalau dulu anak anda suka makan nugget, burger, fries, hotdog dan lain-lain, apa kata beli pula tepung gandum dan Mauripan (penaik tepung) untuk buat donat 😀 )

7) Jika anda amat berdisiplin dalam penggunaan kad kredit, ada kalanya penggunaannya lebih efektif kerana kita tidak perlu keluarkan wang tunai yang berlebihan apabila berbelanja. Namun pastikan anda tidak terperangkap kerana berbelanja keterlaluan.

Amalan pengurusan kewangan peribadi ini (personal money management) setidak-tidaknya akan memberikan kita latihan asas sebelum kita benar-benar bersedia untuk mengorak langkah ke arah cita-cita sebenar iaitu – Kebebasan Kewangan yang mutlak.

Mungkin dengan sikap dan disiplin yang kuat, kita lebih mudah mengesan dan merangka pelan kebebasan kewangan kita sendiri – tidak semestinya dengan mempunyai wang ringgit atau aset yang melimpah ruah. Yang penting, kita senang dan gembira dengan status kewangan kita pada bila-bila masa tanpa ianya mengekang diri kita dari menikmati kehidupan seperti orang lain yang berjaya.

Selamat memulakan langkah ke arah kehidupan yang lebih berjaya 😀

Terima Kasih